PENYANYI Daiyan Trisha berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang pentadbiran perniagaan dengan baik biarpun tidak menghadiri kuliah selama sebulan.
Daiyan, 24, berkata dia mampu mendapat keputusan yang bagus dengan mengambil banyak subjek pelajaran dan mengorbankan waktu malamnya.
“Tak pergi kuliah sepanjang bulan (dengan izin) untuk penggambaran filem Busker. Saya siapkan tugasan kuliah pada waktu malam selepas selesai penggambaran.
“Jalani latihan perindustrian di Levi’s sementara jadi duta Levi’s, ambil enam,tujuh subjek dalam satu semester supaya saya dapat menamatkan pelajaran dengan cepat.
“Belajar di waktu malam untuk peperiksaan selepas seharian penuh dengan fotografi, tidur dalam kelas sebab jet-lagged balik dari kerja luar,” kata Daiyan.
Daiyan turut memuat naik foto dia berpakaian jubah konvokesyen di laman Instagramnya.
Pelakon drama bersiri Sejuta Rasa Buat Adelia ini menamatkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Infrastructure University Kuala Lumpur.
Kata penyanyi lagu Langit ini, biarpun dia pernah hampir berputus asa, namun masih menyimpan cita-cita tinggi untuk skor A dalam setiap kelas.
Bagi Daiyan, untuk mencapai matlamat, seseorang itu perlu berusaha bersungguh-sungguh dan memberi komitmen sepenuhnya dalam setiap apa yang dilakukan.
“Saya pernah putus asa beberapa kali. Ia sangat gila! Walaupun begitu, saya masih bercita-cita tinggi untuk dapatkan skor A dalam semua kelas.
“Datang lambat pun masih dengan muka tak malu duduk di barisan depan supaya dapat fokus. Alhamdulillah saya masih dalam senarai Dekan setiap semester.
“Saya rasa, selagi anda bersungguh-sungguh dan komited untuk mencapai matlamat, tiada apa yang anda tidak boleh lakukan,” ujarnya.
Source: MStar