Publication : Berita Harian
Date : 1 May 2014
Kajang – Keperluan usaha memperkemas dasar dan peraturan bagi membendung kejadian tanah runtuh antara perkara utama yang dibincang pada Seminar Unjuran dan Teknologi Kawalan Tanah Runtuh di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) di sini, baru-baru ini.
Penyelidik di Pusat Geobencana IUKL merangkap penyelaras seminar berkenaan, Naimah Yusoff, berkata peserta antara lain membincangkan kepentingan memperketat peraturan pembinaan rumah di kawasan tepi cerun.
“Peserta daripada pelbagai agensi juga mengetengahkan kepentingan meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya bencana itu, selain berkongsi hasil penyelidikan dan teknologi terkini untuk menangani masalah berkenaan”, katanya.
Seminar sehari itu dihadiri kira-kira 100 peserta termasuk tiga wakil agensi pengurusan bencana Jepun, Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan, syarikat perundingan, pelajar dan penyelidik daripada beberapa institusi awam tempatan.
Naib Canselor merangkap Presiden IUKL, Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin, menyempurnakan ucapan perasmian seminar berkenaan.