IUKL tubuh pusat kaji bencana alam
Utusan Malaysia: Published on January 9, 2014, Thursday
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang membuat pemantauan secara berkala pada setiap kawasan bercerun dan curam di seluruh negara terutama tanah-tanah yang berisiko berlakunya kejadian tanah runtuh.
Naib Canselor dan Presiden Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (Pusat Penyelidikan Geo Bencana), Prof Dr Roslan Zainal Abidin, berkata menerusi pemantauan yang kerap bencana tanah runtuh dapat dielakkan atau bagi kawasan sememangnya berisiko tinggi boleh diminimumkan.
“Tidak susah untuk membuat pemantauan yang kerap. Pihak berwajib hanya perlu memeriksa struktur tanah, lihat cerun itu stabil atau tidak dan sama ada cerun itu berisiko atau tidak. Tidak perlu ambil masa yang lama.
Contohnya untuk cerun yang runtuh di Jalan Mahameru itu. Mengikut penilaian awal, cerun itu berisiko terutama keadaannya yang terdedah serta dengan faktor cuaca ketika ini. Jika pemantauan awal dibuat kita boleh atasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Mahameru berhampiran Jabatan Perhutanan di dini semalam yang telah mengakibatkan ribuan pengguna jalan raya terperangkap ekoran kejadian secara tiba-tiba itu.
Roslan berkata, terdapat dua kaedah yang biasanya digunakan untuk mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh iaitu menilai tahap kebolehhakisan hujan dan tahap kebolehruntuhan tanah.