IUKL tubuh pusat kaji bencana alam
Berita Harian: Published on January 23, 2014, Thursday
KAJANG: Infrastructure University of Kuala Lumpur (IUKL) menubuhkan Pusat Penyelidikan Geobencana bagi mengukuhkan kebitaraan kajian dalam bidang bencana alam.
Naib Canselor merangkap Presidennya, Prof Dr Roslan Zainal Abidin, berkata pusat itu ditubuhkan di bawah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Infrastuktur (FETI) sejak bulan lalu.
Katanya, pusat itu berperanan menjana pengetahuan baharu dan pemahaman lebih baik mengenai punca, kesan serta inovasi berkaitan bencana alam bagi menyumbang kepada pengurangan kejadiannya di negara ini.
Beliau berkata, antara bidang kajian yang diberi tumpuan ialah tanah runtuh, hakisan tebing sungai dan pantai, kestabilan cerun, banjir, tsunami, kejadian angin dan taufan, lubang benam serta gempa bumi.
“Penubuhan pusat ini memudahkan penyelarasan dan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, terutama dalam mengenal pasti punca, pengawalan serta pencegahan bencana alam,” katanya.
Sementara itu, Dekan FETI, Prof. madya Dr. Abdul Razak Yaacob, berkata sekumpulan penyelidik IUKL diketuai Naimah Yusoff berjaya menyiapkan Kajian oleh Hakisan Tebing Sepanjang Sungai Langat, tahun lalu.
Katanya, kajian itu yang meliputi daerah Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat, dijalankan secara usaha sama dengan Pusat Serantau Tropika Lembab (HTC) Kuala Lumpur, Jabatan Pengairan dan Saliran, serta mengambil kira dua faktor utama hakisan, iaitu tekstur tanah dan keamatan hujan.