PEMAIN pilihan, Sanjay Singh dari Universiti Malaya dan Adele Han May Jen dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur di Kajang, masing-masing merangkul gelaran Divisyen 1 kategori lelaki dan wanita pada grand final kejohanan skuasy IPT 1Malaysia di Kompleks Skuasy Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kedua-duanya beraksi hebat dengan kemenangan meyakinkan ke atas lawan mereka pada perlawanan akhir.
Adele mengejutkan pilihan utama, Siti Nurul Jannah Razali dari Universiti Sultan Zainal Abidin, 12-10, 11-7, 11-4 untuk muncul juara pertama dalam empat sirkit manakala Sanjay yang tidak bermain dalam pusingan ketiga sebelum ini menang bergaya menewaskan Mohd Amir Farhan Ampandi, 11-2, 5-11, 11-8, 11-9 pada permainan yang berlangsung kira-kira sejam.
Amir Farhan, pelajar tahun dua pengajian pentadbiran perniagaan dari Universiti Putra Malaysia dilihat berjuang habis-habisan dan memberikan penampilan 100 peratus meskipun akur di tangan pemain ranking nombor tiga kebangsaan itu.
Sementara itu, pemain Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhd Mukhlasin Abdul Rahman menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengalahkan pilihan Shaun Kwan Ka Junn dari Nilai University, 7-11 , 11-8, 8-11, 12-10, 11-7.
Untuk trivia, Sanjay memenangi perlawanan pusingan pertama di Pulau Pinang pada Oktober manakala Amir memenangi pusingan ketiga di Bukit Jalil akhir bulan lalu.
Turut hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam perlawanan akhir itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling, Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying Yow, Naib Presiden SRAM dan pengerusi pertandingan, Nik Razeen Daud, Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan (SRAFT), Steven Kwan dan Ketua Pegawai Belia dan Sukan Pusat Sukan UM, Norsham Abdullah.
Adele lakar kejutan
Bagi kategori wanita, keupayaan Adele muncul juara kali ini mengejutkan pemerhati skuasy tempatan.
Pilihan kedua kejohanan berusia 21 tahun itu tampil aksi mantap membenam cabaran Siti Nurul Jannah walaupun tidak diberikan sebarang harapan bagi penentuan juara.
Sementara itu, Gillian Ng yang juga pilihan ketiga dari Universiti Malaya memastikan kedudukan tiga terbaik menjadi miliknya dengan menumpaskan Nattasha Ariffin, 11-8, 11-9, 11-8.
Sanjay lega
Dalam pada itu, Sanjay ternyata lega kerana berjaya memenangi gelaran dan akui kejohanan di Kuala Lumpur itu adalah aksi terakhirnya tahun ini sebelum mengambil keputusan berehat.
“Saya kini tidak sabar untuk pulang ke rumah bertemu ahli keluarga dan bercuti,” kata Sanjay yang pulang ke Kuching, Sarawak bermula semalam hingga 3 Januari depan.
Beliau menambah, fokusnya selepas ini adalah untuk bermain di kejohanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada Mac 2016.
Click Here to Read More.