KAJANG: “Saya hadiahkan kejayaan ini kepada ibu saya, seorang ibu tunggal yang bekerja keras membesarkan saya dan kakak kembar sejak kami berusia empat tahun,” kata graduan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Pheobe Shafinaz Jasni.

Penerima Anugerah Naib Canselor pada Konvokesyen ke-15 IUKL itu berkata, beliau mahu membalas jasa ibunya, Ritadewi Ramdzan, 45, yang banyak berkorban dan memberi sokongan kepada beliau untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburinya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (kepujian) dalam Komunikasi Pemasaran Bersepadu itu berkata, biarpun sibuk dengan pelbagai program kesukarelawanan dan penganjuran projek di universiti, selain terbabit dalam aktiviti peragaan separuh masa, akademik tetap diberi keutamaan.

“Memang memenatkan apabila perlu terkejar ke sana sini untuk melakukan banyak perkara dan dalam masa sama fokus kepada pengajian, namun ia menyeronokkan serta berbaloi apabila kita memperoleh pelbagai pengalaman.”

“Saya sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik, justeru apabila bakat kita dihargai pensyarah membuatkan saya lebih bersemangat,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur yang meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.933 itu ketika ditemui pada majlis konvokesyen IUKL, di sini, hari ini.

Seramai 1,050 graduan menerima sijil masing-masing terdiri daripada empat penerima ijazah doktor falsafah, 54 ijazah sarjana, 679 ijazah sarjana muda dan 313 diploma.

Majlis sesi pertama disampaikan oleh Canselor IUKL, Tan Sri Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, manakala sesi kedua dan ketiga disempurnakan oleh Pro Canselor IUKL, Datuk Lee Yee Cheong.

Yang turut hadir, Naib Canselor IUKL, Prof Dr Roslan Zainal Abidin dan Pengerusi Lembaga Pengelola IUKL, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil.

Seorang lagi penerima Anugerah Naib Canselor IUKL yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Lai Jet Kee, 24, berkata sepanjang tempoh pengajian, beliau perlu belajar lebih rajin kerana lemah dalam subjek bahasa.

Beliau yang meraih PNGK 3.90 berkata, sebagai pelajar yang mengikuti sekolah aliran Cina, beliau perlu berusaha lebih untuk mendalami bahasa Inggeris dan Melayu bagi memahami perbendaharaan kata dalam nota pensyarah.

“Saya memang amat mahir dalam pengiraan, namun untuk benar-benar memahami pengajaran pensyarah saya akan meluangkan lebih masa untuk belajar.”

“Usaha saya selama ini berbaloi dengan kejayaan yang diperoleh hari ini,” katanya.

Source: BH Online