Sebahagian pelajar IUKL menerima sijil keahlian skuad antidenggi di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (MPKJ), Intan Azuzarina Zolkipli, berkata langkah itu bertepatan dengan usaha MPKJ bagi me­ngatasi masalah wabak ini yang semakin serius terutama di kawasan Kajang.

Beliau berkata, Kajang adalah antara kawasan yang dilaporkan kes demam denggi tertinggi di negara ini dan usaha berterusan perlu dilakukan bagi menangani penyakit itu daripada terus merebak.

Sebar maklumat
“Walaupun agak membimbangkan, namun kes demam denggi ini masih boleh di­atasi sekiranya semua pihak memainkan peranan melakukan pencegahan lebih awal.

“Sehubungan itu, Skuad Antidenggi IUKL ini akan bersama-sama membantu memberi kesedaran kepada masyarakat sekitar terutama aspek langkah pencegahan awal yang bermula daripada kediaman mereka sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sijil kepada Skuad Antidenggi IUKL, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu 60 pelajar IUKL menerima sijil keahlian Skuad Antidenggi IUKL. Yang turut hadir ialah, Naib Presiden Akademik, Prof Madya Dr Christiantine Della dan Naib Presiden Akedemik dan Penyelidikan IUKL, Prof Dr Ideris Zakaria.

Intan berkata, melalui aktiviti itu bukan sahaja dapat mengurangkan kes demam denggi di kawasan yang dikenal pasti, malah memberi kesedaran akan bahayanya wabak berkenaan kepada orang ramai.

Katanya, pada peringkat awal, pendedahan akan diberikan kepada skuad itu berkaitan denggi secara menyeluruh dan mereka akan menyebarkan maklumat itu ke setiap fakulti masing-masing bagi memberi kesedaran kepada setiap pelajar.

Penulis
Oleh Sarah Aina Shawal – sarah.aina@bh.com.my

Source: Berita Harian